KUALA LUMPUR – Tuduhan yang dibuat oleh pihak tertentu sebelum inio kononnya wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion telah dirompak oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) ternyata tidak benar.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, wang tersebut sebenarnya telah dibelanjakan untuk merancakkan lagi sektor pembangunan negara.
“Tiada wang GST yang dirompak dan wang tersebut digunakan untuk pembangunan negara. Hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), kita sedang menambah baik proses kutipan dan pembayaran balik GST seperti yang dikehendaki dalam laporan PAC yang bertarikh 15 Julai 2020.
“Wang RM19.4 bilion itu merupakan wang yang sepatutnya dibayar balik GST ketika itu tetapi berlaku penambahan tuntutan GST lebih kurang RM19 bilion.
“Ini bermakna proses kutipan bayaran balik GST bukan proses yang tidak dinamik. Ia satu proses dinamik yang memerlukan pautan yang sangat dalam supaya tidak berlakunya ketirisan wang,” katanya dalam sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian-BN) yang ingin tahu berkenaan tuduhan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menuduh kerajaan BN merompak kutipan hasil GST. K! ONLIN