fbpx

Piya guna kapak bayar nazar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU – Bekas kapten pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd. Badhri Radzi atau Piya menggunakan sebilah kapak bagi mencukur rambut sebagai tanda membayar nazar.

Bayaran nazar itu dilakukan sebagai tanda syukur selepas jaringan gelembung buaya yang dilakukan tujuh tahun lalu itu dinobatkan sebagai pemenang untuk gol chips atau lambungan terbaik Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin.

Piya menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah buat Malaysia menjelang sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini.

“Saya berterima kasih kepada semua peminat TRW dan penyokong bola sepak Malaysia kerana telah mengundi jaringan tersebut.

“Kejayaan ini bukan untuk saya dan pasukan Kelantan sahaja malah seluruh Malaysia berhak untuk berbangga kerana ia telah menangkat martabat bola sepak negara di pentas Asia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Piya berkata, nazar tersebut dilakukan di sebuah kedai gunting tradisional yang terletak di Kampung Sungai Budor di sini.

Katanya, dia memilih cara tersebut kerana ia cukup unik sekali gus menghidupkan cara mencukur kepala yang pernah digunakan oleh orang tua terdahulu.

“Selain itu saya turut melakukan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran diatas kejayaan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, gol cantik yang dihasilkan oleh pemain berjersi No.16 itu ketika Kelantan membelasah kelab Vietnam, SHB Da Nang 5-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC pada 2 April 2013.

Selepas undian ditutup pada Khamis lalu, Piya meraih 93 peratus undi yang jauh meninggalkan pesaing lain.

Pemain Ceres Negros, Bienvenido Maranon dan bintang Myanmar yang pernah mewakili Yangon United, Kyaw Ko Ko sekadar memperoleh tiga peratus undian untuk berkongsi kedudukan kedua.

Bekas pemain Chonburi FC, Thiago Cunha dan Pak Myong-song pula berkongsi kedudukan ketiga selepas masing-masing hanya meraih satu peratus undian.

Sebelum ini, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid sebelum ini mengharumkan nama Malaysia apabila muncul pemenang gol lencongan terbaik sepanjang Liga Juara-Juara Asia (ACL). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI