fbpx

Wings anjur konsert virtual sempena merdeka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Buat julung-julung kalinya, kumpulan rock legenda, Wings bakal mengadakan Konsert Wings Kita Merdeka 2020 secara virtual pada 29 Ogos depan.

Penganjuran konsert tersebut juga adalah bersempena meraikan bulan kemerdekaan dan ulang tahun ke-35 Wings pada Ogos ini.

Menurut Wings dalam satu kenyataan, konsert tersebut bakal menjadi sebuah pengalaman yang hebat kerana ia merupakan konsert rock pertama yang boleh ditonton secara atas talian susulan wabak pandemik Covid-19.

“Konsert tersebut akan menjadi hadiah yang paling bermakna kepada para peminat yang sekian lama menyokong perjalanan Wings selama 35 tahun dalam industri ini.

“Selain itu, inisiatif mengadakan konsert ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada tokoh-tokoh terkenal yang telah berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan untuk tanah air tercinta,” katanya.

Wings memberitahu, konsert tersebut juga bagi mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang telah berkorban masa dan tenaga serta nyawa bagi membendung penularan wabak Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.

Acara anjuran bersama Sonic Mind Sdn. Bhd dan Firm Motion Sdn. Bhd tersebut juga bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Selain itu, kami sangat teruja kerana konsert ini akan dapat ditonton di mana sahaja, termasuk peminat dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Sambutan ulang tahun Wings pada tahun ini bakal memberikan satu pengalaman berbeza kepada semua orang terutama kepada peminat kami.  Terima kasih kerana teguh bersama Wings mengharungi pelbagai onak duri selama 35 tahun,” ujarnya.

Bermula 30 Julai, orang ramai boleh mendapatkan tiket secara online dengan melayari www.galactix.asia. Tiket konsert tersebut dijual pada harga RM35.

Wings kini dianggotai hanya tiga orang ahli iaitu Awie, Eddie dan Black selepas pemain gitarnya, Joe meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI