NAMA penuh wanita ini Saidatul Naseha Uyaina Arshad, nama pentasnya Uyaina Arshad. Tidak keterlaluan andai dia dikelaskan sebagai epitome wanita beauty with brain.
Bukan sahaja bijak menuturkan bicara, jelitawan berusia 28 tahun ini amat menjaga perilakunya terutama dilihat umum membawa imej wanita Melayu Islam bertudung.

Ditemui Profil Glam pada sidang akhbar program realiti terbaharu, Ratu Hijabista yang bakal menyaksikan dia menggalas tugas sebagai pengacara di samping Fikry Ibrahim, Uyaina membuka gelanggang perbualan bercerita tentang situasi kerjaya dan kehidupannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih menggusarkan ramai disebabkan pandemik Covid-19.
Acap kali berulang-alik dari Indonesia disebabkan komitmen kerja, Uyaina lega kerana tidak menjadi punca kluster baharu di Malaysia.

Bukan punca kluster
Katanya, kalau diikutkan perancangan awal pihak pengurusan, dia berkemungkinan akan terperangkap di negara jiran itu, sekali gus dijangkiti virus berbahaya itu.
“Saya sepatutnya terlibat dengan program di sana iaitu Puteri Muslimah Asia musim kedua yang kalau ikut jadual berlangsung pada bulan April lalu.
“Bagaimanapun, memang tidak boleh buat apa kerana PKP waktu itu sudah berkuat kuasa. Tambahan pula, situasi di Indonesia masih teruk sehingga sekarang disebabkan Covid-19.
“Saya balik Malaysia bulan Disember tahun lalu dan sepatutnya terbang semula ke Indonesia bulan Februari untuk satu program iaitu Liga Dangdut Indonesia.
“Waktu itu situasi di sana tidak seteruk sekarang, namun pihak pengurusan tidak benarkan saya pergi. Kalau saya pergi juga, memang sah saya menjadi penyebab salah satu kluster baharu di Malaysia,” kongsi alumni Universiti Malaya (UM) Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu.

– Ihsan ASTRO
(AZRUL RAFIE)
Kongsinya lagi, dia terpaksa menangguhkan urusan pengacaraan di Indonesia sehinggalah wabak Covid-19 ini berjaya dikawal sepenuhnya.
“Untuk tempoh setahun dua ini, memang saya tidak akan ke sana melainkan vaksin sudah berjaya ditemui,” katanya.
Kondisi jantung
Ditanya berkenaan keadaan kesihatannya, anak bongsu daripada empat orang adik-beradik ini bersyukur kerana kondisi jantungnya semakin stabil.
Katanya, pakar kardiologi yang merawatnya memberitahu keadaan buat masa sekarang stabil dan tidak perlu dihiraukan. Justeru, buat masa sekarang, dia tidak perlu menjalani pembedahan.
“Alhamdulillah, tempoh hari saya ada buat pemeriksaan dengan pakar kardiologi dan saya diberitahu buat masa sekarang, keadaan kesihatan saya stabil dan terkawal.
“Pun begitu, saya masih perlu disiplin makan ubat dan jaga pemakanan dan tidak boleh buat kerja berat-berat sangat,” tutur Uyaina yang mula dikenali sebagai pelakon menerusi watak Maryam dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan.
Sesetengah orang mungkin melihat Uyaina riang ceria, mampu bekerja dan sebagainya seperti tidak menanggung sebarang kesakitan, namun dirinya ada jawapan untuk tanggapan yang dilemparkan itu.
“Kadang-kadang, badan kita bagi signal sakit tapi kita yang tidak perasan dan tidak mengendahkannya.
“Saya didiagnosis mempunyai komplikasi jantung pada usia 27 tahun, itu pun selepas sudah pengsan, rasa macam ikan atas darat dan berpeluh satu badan. Saya tidak mahu orang lain alami apa yang saya alami.
“Sakit itu boleh datang pada bila-bila masa. Nasihat saya, tolong bagi perhatian pada signal badan kita beri kalau kita sakit. Buat pemeriksaan awal,” getusnya.

Ditebak pertanyaan rawak bagaimana dirinya mendapat kekuatan untuk berdepan masalah terutama berkaitan kesihatan pada usia yang sangat hijau, balasnya: “Badan akan sihat kalau kita sentiasa berfikiran positif. Saya akui sebelum ini kesihatan mental saya tidak berapa okey, namun terutama selepas PKP banyak menghabiskan masa bersama keluarga, fikiran saya rasa lebih tenteram.”
Kahwin sebelum 30
Diusik persoalan berkait hal peribadi, Uyaina tersenyum seperti ada sesuatu yang ingin dikongsikannya, namun buatnya mungkin belum tiba waktu yang tepat untuk berbuat demikian.
Barangkali umum mengetahui, Uyaina pernah digosipkan bercinta dengan penyanyi dangdut kelahiran Indonesia, Reza Zakarya, namun gosip tersebut sepertinya lenyap ditiup angin apabila lelaki itu sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang perempuan.
“Ya, dia sudah bertunang dan mungkin sudah sampai jodohnya. Saya gembira mendengar berita pertunangannya dan saya doakan yang baik-baik untuknya,” ungkapnya ringkas.
Sementara itu, Uyaina mendedahkan dirinya sedang mengenali hati budi seseorang buat masa sekarang, namun enggan memperincikan hal itu kerana masih terlalu awal.
“Saya pun sedar dalam setahun dua lagi, usia akan mencecah 30 tahun. Niat nak berkahwin memang ada, sama ada sekarang atau dalam masa terdekat.
“Namun, saya sudah meletakkan sasaran ingin menjadi isteri orang sebelum atau pada usia 30 tahun. Doakan agar lelaki yang sedang saya kenali hati budi sekarang ini akan berakhir ke jenjang pelamin. Insya-Allah,” ujarnya menutup perbualan.

di samping Fikry Ibrahim dan Normala Samsudin.















