fbpx
Faten Afeefa

[VIDEO] Saya tak kenal Alya – Fatin Afeefa

  • Oleh MOHD. HAIKAL ISA
  • 29 Julai 2020, 1:41 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kontroversi pelakon baharu, Alya Iman yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang ahli perniagaan berstatus suami orang hangat diperkatakan sejak minggu lalu.

Nama pelakon Fatin Afeefa atau nama lengkapnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, 26, juga terpalit dengan isu panas itu memandangkan dia pernah didakwa melakukan perkara yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun Fatin enggan mengulas mengenai isu tersebut kerana dia tidak mengenali langsung anak kepada pelakon legenda Allahyarham Azmil Mustapha itu.

“Saya tidak kenal pun siapa Alya Iman dan kalau ingin diikutkan saya tidak mempunyai hak untuk memberikan komen kerana bukan orang bertauliah atau pensyarah. Saya pun bukan pakar motivasi.

“Kalau ada kena-mengena dengan saya mungkin boleh komen tapi tiada dan saya tidak kenal. Dia pun tiada dalam senarai pengikut saya di Instagram,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Fatin yang mula membina nama menerusi filem Tentang Bulan ditemui pada majlis pelancaran butik terbaharu Havaianas di Pavilion, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Fatin pernah didakwa menjalinkan kembali hubungan cinta dengan seorang lelaki berstatus suami orang pada sekitar Jun tahun lalu.

Perkara itu didedahkan oleh individu yang menggunakan nama Mag di Twitter yang mendakwa pelakon drama Red Velvet itu menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya sejak dua tahun lalu.

Menurut Mag, Fatin ada menghubunginya pada minggu lalu untuk memohon maaf dan berjanji tidak akan menganggu hubungan mereka.

Fatin sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 dan bercerai dengan talak satu pada 30 Mei 2017. Hasil perkahwinan, merekia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian, 6, dan Ivy Herra Sophia yang kini berusia empat tahun. – K! ONLINE