fbpx

Relevansi retro Kugiran Masdo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUGIRAN Masdo tidak berhasrat menghasilkan album baharu kerana masih banyak lagu dalam album terdahulu, Jalan Abbey belum diperdengarkan kepada khalayak. – Foto MOHD IQBAL ROSLI

SEBUT sahaja nama Kugiran Masdo, pasti terngiang-ngiang alunan muzik retro era 1960-an yang diispirasikan daripada lagu-lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Ditubuhkan sejak tahun 2015, kugiran yang dianggotai Ali Sariah (vokalis), Azham Ahmad (drum), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) ini berjaya memecahkan stereotaip industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, ketika lagu mereka mula meniti di bibir peminat, masih ada kata-kata sinikal yang masih menganggap aliran muzik yang diperjuangkan tidak relevan dengan industri muzik kini.

Menyangkal dakwaan tersebut, vokalisnya, Ali Sariah atau Ali memberitahu, mereka bersyukur kerana karya Kugiran Masdo semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

“Saya lihat ramai yang minat aliran muzik kami dan mungkin mereka rindukan irama retro seperti lagu-lagu oleh Kugiran Masdo atau ingin lari daripada trend semasa.

“Kami juga sentiasa cuba menerapkan elemen moden dalam setiap lagu supaya dapat disesuaikan dengan industri muzik semasa dan tidak kedengaran terlalu klasik,” ujar vokalis berusia 29 tahun itu.

 

PANDEMIK Covid-19 membuatkan banyak perancangan dan persembahan jelajah Kugiran Masdo terpaksa ditunda.

 

Ali juga tidak menolak kemungkinan aliran muzik kugirannya akan berubah dengan penghasilan genre muzik berbeza pada masa akan datang.

“Tidak mustahil kami akan keluar dari zon selesa Kugiran Masdo yang selama ini terkenal dengan konsep pop retro sebab kami sebagai ahli muzik juga ingin mencuba sesuatu yang baharu.

“Insya-Allah, kami akan mengambil pandangan daripada semua pihak dan cuba menerbitkan lebih banyak karya yang lebih kreatif serta luar daripada kebiasaan aliran muzik asal Kugiran Masdo,” katanya lagi.

Masdo juga pernah menyertai pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-34 pada bulan Februari lalu menerusi lagu Dinda.

Ali turut memberitahu, dia juga menghadiri kelas vokal bagi memantapkan lagi tahap nyanyiannya yang selama ini dipertikai ramai.

“Kemampuan vokal saya tidaklah semerdu yang ramai inginkan, cuma saya jadi diri saya sendiri.

“Selain itu, rasanya nyanyian saya juga kena dengan genre muzik dibawa sekarang,” katanya ringkas.

Promosi lagu

Ketika artis lain berlumba-lumba menerbitkan lagu baharu setiap tahun, berbeza pula dengan Kugiran Masdo.

Mencelah dalam perbualan, Asmawi yang lebih selesa dengan panggilan Mawi pula menjelaskan, mereka tidak merancang untuk mengeluarkan produk baharu buat masa sekarang. Fokus mereka hanya terhadap aktiviti promosi lagu daripada album Jalan Abbey yang direkod tahun lalu.

“Sepatutnya tahun ini kami sangat sibuk dengan aktiviti jelajah dan promosi album, tetapi disebabkan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya tergendala.

“Lagi pun, ada beberapa single dalam album tersebut belum diperdengarkan kepada umum, sayang jika rekod mahal-mahal tetapi dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Album Jalan Abbey yang menelan belanja sekitar RM150,000 tersebut direkod di Abbey Road Studio, London pada April tahun lalu.

Antara lagu yang dimuatkan termasuklah, Nearly Near You, Kasih & Sayang dan Janji Manis.

Sepanjang tempoh PKP juga, Kugiran Masdo sempat melancarkan sebuah lagu raya, Hari Inikan Hari Raya.

Terdahulu, Kugiran Masdo pernah menghasilkan sebuah album berjudul Selamat Tinggal Pujaan.

PKP

Mengulas situasi semasa, khususnya dunia muzik selama Covid-19 diisytiharkan pandemik sejak Mac lalu, Kugiran Masdo turut berdepan tempias apabila semua konsert dan jelajah promosi album terpaksa dibatalkan.

 

Semasa tempoh PKP, Kugiran Masdo sempat melancarkan sebuah single berjudul Kasih dan Sayang.

 

Pemain bass Kugiran Masdo, Putu Ceri atau nama sebenarnya Ahmad Azanol Khushairie mengakui pendapatan mereka turut terjejas.

“Kerja kami 100 peratus sebagai pemuzik, apabila jadi begini memang terkesan tetapi syukurlah, kami ada juga wang simpanan serta alternatif lain sebagai sumber pendapatan.

“Jadi saya nasihatkan agar semua anak seni, perlu ada wang simpanan sebab kita sendiri tidak tahu sampai bila perkara sebegini akan berlanjutan. Lagi pun situasi ini berlaku secara tiba-tiba,” ungkapnya dengan nada serius.

Dia juga berharap semua anak seni tabah menghadapi waktu getir seperti sekarang dan sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku.

“Terima kasih juga kepada kelab peminat kami iaitu Geng Pak Maon dan Geng Bentara Guru tidak putus-putus memberi sokongan sepanjang karier kami mula bertapak dalam industri.

“Kami percaya semua yang berlaku sejak beberapa bulan lalu mempunyai hikmah di sebaliknya. Syukur alhamdulillah single terbaru kami Kasih dan Sayang semakin rancak dimainkan di corong-corong radio,” tuturnya Putu Ceri.

Dalam perkembangan lain, Kugiran Masdo turut menjual cenderahati keluaran eksklusif seperti baju-T, set pelekat dan koleksi album.

Peminat boleh mendapatkan kesemua barang tersebut menerusi laman web, www.tokorasmimasdo.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI