fbpx

Favlain juara sulung kejohanan eMFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAVLAIN yang mewakili pasukan Terengganu FC ceria selepas dinobatkan sebagai juara sulung kejohanan eMFL baru-baru ini.

KEJOHANAN interaktif eMFL yang dilangsungkan pada 1 Julai lalu menerima sambutan hangat daripada peminat e-Sukan ta­nah air selepas berjaya mencapai tontonan sehingga 280,000 orang di laman sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, maklum balas yang diterima cukup positif dan secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan kejohanan yang disiarkan secara langsung di Facebook MFL, eMFL dan Gamesbond.

Menurutnya, meskipun kejohanan itu dianjurkan secara sederhana ekoran pandemik Co­vid-19, sambutan sepanjang lapan hari berlangsung begitu memberangsangkan, malah gambar dan video di laman sosial turut me­ngumpul capaian sebanyak 3 juta.

“Sudah pasti kejohanan ini satu impak yang baik kepada e-Sukan negara, apatah lagi eMFL diadakan julung-julung kali pada musim ini.

“Menerusi laporan yang kita terima dari segi hasil tontonan di Facebook, cukup memberangsangkan. Tanpa ragu-ragu lagi, kita akan terus mengadakan kejohanan eMFL 2021 pula pada musim hadapan.

“Ini gambaran yang cukup baik untuk arena e-Sukan. Pada masa sama, ini peluang bagi penyokong-penyokong mengisi masa mereka menyaksikan aksi bola sepak dalam talian memandangkan perlawanan sebenar di stadium tertangguh sebelum ini.

“Kita harapkan penyertaan yang lebih ramai lagi pada musim hadapan dan pemain-pemain ini akan terus berkembang dalam arena e-Sukan FIFA,” jelasnya.

Pada Majlis Penyampaian Hadiah eMFL 2020 baru-baru ini, Mohd. Faiz Hariry atau Favlain yang mewakili pasukan Terengganu FC dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,300, trofi, monitor permai­nan BenQ dan sijil penghargaan.

Ini merupakan kemenangan kedua bagi Terengganu FC selepas kali pertama menjuarai Kejohanan ePiala Malaysia 2019 menerusi pemain, Luqman Haziq Hajiman.

“Saya bersyukur kerana berjaya memenangi kejohanan ini buat pertama kali dan sudah pasti, saya ingin mempertahankan kejuaraan sama pada musim depan.

“Secara keseluruhan, memang saingan ini cukup mencabar ke­rana saya tidak sangka dapat menang, ditambah pula pencabar lain cukup hebat.

“Saya ingin terus sertai kejohanan ini pada musim depan. Terima kasih diucapkan kepada semua termasuklah pasukan Terengganu FC yang banyak memberi sokongan,” katanya.

Naib juara dimenangi oleh Muhammad Imran Burhanudeen yang mewakili Kedah dan tempat ketiga diraih oleh Luqman Haziq, mewakili JDT pada saingan kali ini.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI