fbpx

Penyamun sasar warga emas dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek kes samun warga emas di Yan, Kedah.

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

YAN – Kegiatan jahat seorang bekas banduan menyasarkan wanita warga emas untuk melakukan samun barangan kemas sejak bulan lalu berakhir apabila dia ditahan polis hari ini.

Suspek berusia 36 tahun ditahan dalam operasi Ops Cantas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di hadapan sebuah rumah di Pokok Assam, Pendang dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, tertuduh disyaki terlibat dalam tiga kes samun membabitkan mangsa berusia 70, 74 dan 75 tahun di sekitar daerah ini.

“Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, suspek didakwa pergi ke sebuah rumah di Yan dan kononnya mencari individu bernama Fendi sebelum meminta air.

“Suspek kemudian bertindak merampas seutas rantai gelang emas dan mangsa berusia 70 tahun mengalami kerugian kira-kira RM4,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, satu lagi kejadian pada 30 Jun lalu apabila suspek berpura-pura bertanyakan arah jalan ke Kuala Kedah sebelum merampas seutas rantai leher emas dianggarkan bernilai RM12,000.

“Kejadian terbaharu pada 16 Julai lalu berlaku apabila mangsa yang sedang menunaikan solat Maghrib didatangi suspek yang kemudian merentap rantai leher emas sertai dua rantai tangan emas dengan anggaran kerugian RM5,500,” ujarnya.

Menurut Shahnaz, suspek mengaku terlibat dalam tiga kes tersebut dan telah menjual semua barang kemas milik semua mangsa terlibat.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas dua telefon bimbit jenama Vivo dan Oppo,” ujarnya.

Tambahnya, suspek yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah baru sahaja dibebaskan daripada penjara.

“Suspek yang positif dadah jenis syabu disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI