MOHAMAD Rosly dan isteri melihat surat tawaran menunaikan Haji di rumahnya di Ipoh baru-baru ini.

Cerita sayu bakal jemaah haji 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KLANG – “Inilah kain ihram yang sepatutnya saya gunakan semasa kerja haji pada tahun ini, namun ia tidak berlaku.”

Itu luahan hati seorang guru, Mohd. Khairuddin Abd. Wahab, 48, yang sepatutnya menunaikan haji bersama lebih 31,600 rakyat Malaysia pada tahun ini.

Hajat itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menghantar jemaah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu susulan penyebaran wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Mohd. Khairuddin berkata, penangguhan untuk menunaikan haji bukanlah kali pertama dialaminya kerana 12 tahun lalu, dia sepatutnya telahpun menje­jakkan kaki ke Tanah Suci.

“Pada 2008, saya menerima tawaran pertama ke Tanah Suci tetapi terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk me­nyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Tahun berikutnya, Tabung Haji (TH) menawarkan lagi tempat untuk saya, namun surat tawaran pula tidak diterima ke­rana saya berpindah rumah dan alamat tidak dikemas kini,” kata Mohd. Khairuddin ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di sini baru-baru ini.

 

PEKERJA melakukan persiapan di kawasan sekitar Kaabah sebagai persediaan menerima kedatangan jemaah haji pada tahun ini. – AFP

 

Dua kali terlepas peluang menunaikan haji, Mohd. Khai­ruddin sekali lagi ditawarkan tempat ke Tanah Suci pada 2017, namun terpaksa ditangguhkan pula kerana melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di universiti yang sama.

Pada Januari lalu, Mohd. Khairuddin menerima khabar gembira apabila TH menawarkan tempat kepadanya ke Tanah Suci dan dia merasakan tahun 2020 adalah tahun paling sesuai untuk mengerjakan haji.

“Saya bersyukur kerana sentiasa diberikan peluang untuk mengerjakan haji dan tahun ini saya cukup bersedia dari segi masa dan fizikal.

“Tidak sangka pula wabak Covid-19 melanda dunia sehingga memaksa banyak negara menangguhkan penghantaran jemaah haji ke Mekah.

“Mungkin belum rezeki buat saya untuk berada di sana (Mekah). Kalau difikirkan memang kecewa tetapi bagi saya perancangan Allah itu lebih hebat, Dia Maha Mengetahui,” katanya.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri, Mohamad Rosly Md. Nuri, 59, dan Johana Osman, 54, turut merasai kesedihan sama selepas hasrat untuk mengerjakan haji pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan.

“Kerajaan mengumumkan pe­nangguhan penghantaran haji ketika saya belum sempat membalas surat tawaran yang diberikan TH,” kata pesara kerajaan dari Ipoh itu.

Menurut Mohamad Rosly, segala keperluan asas telah disediakan dia dan isteri.

Pasangan itu juga telah melengkapkan kesemua kursus haji yang disyaratkan selain menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Setelah semuanya tersedia, negara dimaklumkan tentang penangguhan ibadah haji yang sebenarnya telah dijangka sejak dari awal tahun lagi.

“Sejujurnya, saya berasa kecewa dan sedih kerana amat teruja untuk menjejakkan kaki ke sana (Tanah Suci),” katanya.

Mohamad Rosly memberitahu, dia masih menyimpan kain ihram yang digunakan ketika mengerjakan umrah kira-kira dua tahun lalu dan sepatutnya dibawa sekali pada musim haji tahun ini.

Katanya, setiap kali melihat kain itu, hatinya sebak memikirkan tentang ibadah haji.

“Saya berharap penularan Covid-19 ini tidak berlarutan hingga ke tahun depan agar umat Islam dapat ke Tanah Suci se­perti sebelum ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN