fbpx

Tiga bot nelayan asing dijadikan tukun tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Abdullah, membunyikan hon sebagai isyarat untuk menenggelamkan tiga bot nelayan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Kuala Besar, Kota Bharu.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Jabatan Perikanan Kelantan menenggelamkan tiga bot haram milik nelayan asing yang dirampas untuk dijadikan tukun tiruan sebagai pemuliharaan sumber ikan di perairan negara ini.

Tiga bot termasuk jenis pukat tunda dan jerut ditenggelamkan sejauh kira-kira lima batu nautika dari persisir perairan Kuala Besar di sini dengan mengambil masa selama 45 minit.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kaedah itu mampu memberi manfaat kepada para nelayan di negara ini.

” Langkah itu yang diambil oleh pihak kementerian melalui Jabatan Perikanan Malaysia bertujuan mengelakkan berlakunya pencerobohan pukat tunda.

“Selain itu, sebagai amaran dan memberi pengajaran kepada bot asing yang cuba menceroboh perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis Pelupusan Vesel Penangkapan Ikan Asing Yang Dilucutkan Hak Sebagai Tukun Tiruan Di Perairan Kota Bharu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Nazri Ishak.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, mengikut Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan 2019), kerajaan telah mendapat kelulusan Parlimen bagi meningkatkan kadar denda dan mengekang pencerobohan nelayan asing ke dalam perairan negara.

Katanya, jika sabit kesalahan denda maksimum bagi nakhoda bot asing yang menceroboh perairan Malaysia dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi tiap-tiap anggota kru juga dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Menurutnya, kerajaan komited melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin bagi membanteras pencerobohan bot asing terutamanya di perairan Pantai Timur negara.

“Sehingga kini sebanyak 13 bot nelayan asing yang dilucutkan hak di bawah Akta Perikanan 1985 dijadikan tukun tiruan membabitkan perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang,”ujarnya.

Beliau berkata, pihak kementerian prihatin berkaitan isu pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara yang mengakibatkan ketirisan hasil laut dianggarkan bernilai RM6 billion setahun dan memberi kesan kepada ekonomi rakyat negara ini.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI