KUALA LUMPUR – Seramai lima individu ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, awal pagi tadi.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, operasi bermula pukul 10 malam hingga 7 pagi itu memberi tumpuan kepada kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol serta pelanggaran undang-undang jalan raya.
Menurutnya, dalam Op Mabuk, tiga individu ditahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Selain itu, Op Khas Bersepadu (Op Tutup) di Jalan Tun Razak (Selborn/Bernama) dari pukul 3 pagi hingga 7 pagi merekodkan dua tangkapan di bawah Seksyen 108 APJ.
“Sebanyak 98 motosikal turut disita di bawah Seksyen 60 APJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi, sebanyak 1,119 motosikal dan 80 buah kereta diperiksa dengan 751 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Katanya, operasi turut melibatkan kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan yang mengeluarkan 59 notis, manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan membuat dua tangkapan.
“Secara keseluruhan, lima tangkapan direkodkan melibatkan tiga kes Op Mabuk dan dua kes ubah suai nombor pendaftaran,” ujarnya.
Tambah beliau, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta membanteras pelanggaran undang-undang trafik. – KOSMO! ONLINE














