fbpx
GAMBAR HIASAN

Kita belum menang tapi tak mahu kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

 

KETIKA ini, semua pelajar sekolah di seluruh negara sudah memulakan persekolahan setelah lebih empat bulan terpaksa duduk di rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Pihak sekolah dilihat begitu mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan pandemik tersebut dalam kalangan pelajar.

Antaranya ialah pemeriksaan suhu badan setiap pelajar sebelum memasuki sekolah, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakan sosial.

Selain sekolah, kita juga bangga apabila melihat umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di seluruh negara mematuhi peraturan dengan begitu tertib.

Mereka membawa sejadah sendiri, merekodkan bacaan suhu badan masing-masing sebelum memasuki masjid dan duduk pada jarak satu meter antara jemaah dalam saf.

Bagaimanapun, di luar sana pula, rakyat Malaysia semakin bergerak bebas ke sana ke sini bagaikan sudah ‘merdeka’ daripada ancaman pandemik Covid-19.

Pada setiap hujung minggu, hampir semua hotel di destinasi pelancongan popular negara penuh dengan pelancong tempatan.

Kedai-kedai makanan yang popular turut dibanjiri pelanggan, mereka bagaikan melepaskan dendam setelah berbulan-bulan terperuk di rumah akibat pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu.

Malangnya, segelintir rakyat seolah-olah terlupa mematuhi SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini terutamanya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka diabaikan terus.

Kealpaan rakyat telah membimbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri. Pada Isnin lalu, beliau berkata, kerajaan akan mengadakan semula PKP jika kes Covid-19 terus meningkat secara mendadak.

Perdana Menteri bimbang apabila kes Covid-19 kembali mencatatkan angka dua digit, malah wujud berbelas-belas kluster baharu sejak tempoh PKPP dilaksanakan bermula 10 Jun lalu.

Malah, segelintir individu yang diwajibkan dikuarantin di rumah setelah pulang dari luar negara berani melanggar arahan dengan pergi makan di kedai-kedai.

Mujurlah mulai hari ini rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu menjalani prosedur kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Kita tidak mahu Malaysia mengalami gelombang kedua seperti negara-negara lain termasuk Australia. Virus ganas itu kini menjangkiti 15.1 juta orang di seluruh dunia dan membunuh lebih 619,000 mangsa.

Kita tidak mahu PKP dilaksanakan semula kerana kita sudah penat duduk di rumah sahaja selama beberapa bulan.

Kita juga tidak mahu lebih ramai yang akan dibuang kerja dan banyak syarikat mengalami kerugian sehingga terpaksa gulung tikar.

Kita belum lagi menang dalam memerangi Covid-19, namun kita juga tidak mahu kalah. Kejayaan kita memerangi pandemik ini terletak atas tangan kita sendiri.

POPULAR