fbpx

Warga emas berhati mulia rugi RM500,000 akibat ditipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan licik dua wanita warga tempatan yang tergamak menipu seorang lelaki warga emas untuk menderma kepada beberapa buah pusat kebajikan tidak wujud selama tiga tahun akhirnya terbongkar selepas lelaki tersebut berhasrat untuk mengadakan lawatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, lelaki berkenaan yang berusia 72 tahun telah dimaklumkan oleh sepupunya berusia 78 tahun tentang tawaran untuk menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim oleh seorang wanita yang merupakan bekas pekerjanya pada Mei 2017 lalu.

“Mangsa yang kemudiannya bersetuju telah memberikan kuasa kepada sepupunya itu untuk mengendalikan hal ehwal kewangannya dalam urusan pemindahan wang dari akaunnya ke akaun peribadi milik wanita tersebut.

“Pembiayaan itu berlanjutan sehinggalah awal Julai lalu apabila mangsa bersama rakannya telah pergi ke lokasi rumah anak-anak yatim tersebut di Tanah Merah, Kelantan, Simpang Empat, Pulau Pinang serta di Ipoh, Perak, dan mendapati ia tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, anggaran kerugian yang dialami mangsa dianggarkan mencecah RM500,000 dan lelaki tersebut kemudiannya membuat laporan kepada pihak polis.

“Pihak polis kemudiannya menyerbu dua lokasi berasingan di Tanah Merah, Kelantan serta Kajang, Selangor semalam susulan hasil risikan yang dilakukan dan menahan dua suspek wanita warga tempatan.

“Kedua-dua suspek yang ditahan berperanan sebagai pemilik akaun-akaun bank yang menerima sumbangan wang daripada mangsa dan suspek pertama telah ditahan reman selama empat hari serta disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala suspek kedua berusia 34 tahun pula dibebaskan dengan jaminan polis,” jelas beliau.

Tambah Nik Ezanee, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati terutamanya apabila memberi bantuan kewangan kepada mana-mana pusat kebajikan dengan memastikan pihak tersebut memiliki dokumen-dokumen yang berkaitan dan dilakukan secara bersemuka,” jelas beliau.

“Akaun bank adalah tangungjawab individu dan dilarang untuk dipinjamkan kepada sesiapa walaupun untuk sementara waktu untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI