fbpx

[VIDEO] Buat enam tuntutan palsu, pembantu tadbir kewangan didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MERIAM diiringi pegawai SPRM hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan membuat tuntutan palsu pada November 2015.

JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pembantu tadbir kewangan membuat enam tuntutan palsu berjumlah RM109,930 ke atas Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) lima tahun lalu mengundang padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh Meriam Mamat, 56, yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Muar bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus enam pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan baucar bayaran bagi pembekalan barangan bukan ubat lima buah klinik kesihatan yang berjumlah RM109,930 kepada JKNJ, yang mana barangan berkenaan tidak dibekalkan kepada klinik tersebut.

Klinik-klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan (KK) Lenga, KK Parit Jawa, Air Hitam, Kampung Kenangan dan Bakri.

Wanita itu dituduh mengemukakan tuntutan palsu itu menggunakan empat nama syarikat berlainan iaitu Perniagaan Maju Sinar, Vista Kirana, Arryan Resources dan A One Access.

Perbuatan dilakukan tertuduh pada bulan November 2015 di Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

Pendakwaan terhadap Meriam dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsukan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Kamarudin menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.- K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI