LONDON – Juara dunia tujuh kali MotoGP , Valentino Rossi mahu membawa semua kru terbaiknya menyertai pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) musim depan.
Rossi dilaporkan hampir pasti akan bertukar tempat dengan pelumba SRT, Fabio Quartararo yang telah sah menandatangani kontrak dua tahun dengan pasukan Monster Energy Yamaha sehingga 2022.
Sejak beraksi pada saingan kelas tertinggi, Rossi sentiasa membawa kesemua kru setiap kali menyertai pasukan berbeza
Pelumba Itali itu pernah membawa semua kru terbaiknya dari Honda ke Yamaha (2004), Yamaha ke Ducati (2011) dan Ducati ke Yamaha (2013).
“Saya telah berbincang dengan Yamaha dan mahu meneruskan perlumbaan dalam saingan MotoGP. Saya juga telah mendapat kebenaran dari Yamaha dan saya juga telah berunding bersama Petronas. Ketika ini ia semakin hampir untuk direalisasikan.
“Ketika ini saya belum menandatangani sebarang perjanjian kerana segalanya masih belum tersedia selain kami perlu membina sebuah pasukan baharu. Saya rasa mungkin terdapat perubahan besar dimana saya dan Fabio akan bertukar posisi.
“Saya rasa ia akan selesai tidak lama lagi,” kata Rossi.
Difahamkan Rossi mahu mengekalkan krew terbaiknya seperti David Munoz, Matteo Flamigni, Alex Briggs.

Sementara itu, Fabio turut menjelaskan perkara yang sama dan mahu membawa krew terbaiknya menyertai pasukan pengeluar musim depan.
“Sudah pasti saya mahu membawa kru terbaik ke pasukan pengeluar nanti. Saya akan buat keputusan mengenai perkara tersebut tidak lama lagi,” kata Fabio. – AGENSI