SEBERANG PERAI – Pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini terpaksa menggunakan khidmat anggota bomba untuk mengangkat dan membawa seorang pesakit yang mengalami masalah obesiti ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di George Town hari ini.
Usaha yang dilakukan kira-kira pukul 1.45 petang itu disertai oleh enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, khidmat mereka diperlukan berikutan pesakit berkenaan mengalami berat badan berlebihan dan terpaksa dibawa menggunakan lori milik agensi itu.
“Pesakit tersebut adalah seberat kira-kira 150 kilogram.
“Dia yang dirawat di HSJ perlu dibawa ke HPP hari ini kerana mempunyai temu janji dengan hospital itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan, dua petugas HSJ turut menemani pesakit berkenaan sepanjang perjalanan ke HPP. -K! ONLINE