BALING – Anggota bomba berjaya mengeluarkan corong botol yang tersangkut pada lidah seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Hospital Baling di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.50 petang ini dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba, kita dapati benar laporan yang diterima daripada pihak hospital bahawa seorang kanak-kanak tersangkut corong botol air pada lidahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling kemudian bertindak memotong bahagian botol tersebut menggunakan gunting khas.
“Botol berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan pihak hospital dalam masa kira-kira 28 minit,” ujarnya.
Tambahnya, kanak-kanak terbabit mengalami sedikit kecederaan pada lidahnya. – K! ONLINE