fbpx

Doktor, lima lelaki ke tali gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUNASEEGARAN (kiri) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Kevin lima tahun lalu.

 

KUALA LUMPUR – Seorang doktor patologi dan lima lelaki dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keenam-enam tertuduh.

Mereka ialah pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 57, selaku tertuduh pertama; pemberi pinjaman wang, S. Ravichandran, 49, dan empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 28; A. K Thinesh Kumar, 27, M. Vishwanath, 30, dan S. Nimalan, 27.

Kesemua tertuduh didakwa membunuh Kevin ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini ke Nombor 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, Selangor di antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Enam tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan, Jay Moy Wei Jiun, Dhanyaa Shreeya Sukmar, Datuk Sheelan Arjunan dan R. Ryshinah.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016, pihak pendakwaan mengemukakan 70 saksi, manakala pembelaan memanggil 14 saksi bagi memberi keterangan.

Pada 28 September 2015, seramai tujuh tertuduh terma­suk Kunaseegaran didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Kevin.

Tertuduh kedua, G Gunasekaran kemudiannya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membunuh mendiang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin.

Gunasekaran dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Mendiang Kevin dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui di dalam guni dan disimen di dalam sebuah tong di sebuah paya di Subang Jaya pada 4 September 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI