fbpx
PENDUDUK daerah Sepang di Selangor diiktiraf sebagai penduduk paling kaya di Malaysia. - Gambar hiasan

Orang Sepang paling kaya, gaji lebih RM12,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Penduduk Se­pang di Selangor memperoleh pendapatan isi rumah paling tinggi di negara ini dengan mencatat pendapatan purata seba­nyak RM12,254 sebulan.

Jumlah tersebut merupakan enam kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan purata penduduk daerah Pusa di Sarawak yang hanya memperoleh RM2,758 sebulan.

Laporan Survei Pendapatan & Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) 2019 yang dikeluarkan Jabatan Pe­rangkaan Malaysia semalam turut menyenaraikan daerah Petaling sebagai daerah yang mempunyai pendapatan purata kedua ter­tinggi iaitu RM12,145.

Daerah Sepang yang berada di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang mempunyai keluasan kira-kira 59,966 hektar dan dibahagikan kepada tiga mukim iaitu Dengkil, Labu dan Sepang.

Daerah dengan kepadatan penduduk seramai 256,900 orang itu berada dalam lokasi strategik kerana menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Antarabangsa Sepang selain pusat pelancongan dan hotel bertaraf lima bintang.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pendapatan purata rakyat Malaysia secara keseluruhannya meningkat 4.2 peratus setahun kepada RM7,901.

Kebanyakan penduduk memperoleh pendapatan purata tertinggi iaitu sebanyak RM12,254 sebulan. – Gambar hiasan

 

Katanya, selain Sepang dan Petaling, daerah-daerah lain yang turut berada di kelompok pendapatan tertinggi ialah Gombak, Hulu Langat, Klang dan Kuala Langat, Selangor selain Johor Bahru dan Kulai, Johor serta Timur Laut dan Barat Daya Pulau Pinang.

“Kawasan dengan isi rumah yang mencatatkan pendapatan purata paling rendah pula ialah Pusa, Sarawak pada RM2,758 di­ikuti Lojing di Kelantan iaitu sebanyak RM3,002 sebulan.

“Selain itu, tujuh negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Johor, Melaka, Selangor serta Pulau Pinang pula mencatatkan pendapatan penengah melepasi paras nasional,” katanya sewaktu membentangkan penemuan utama laporan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Put­rajaya semalam.

Antara penemuan utama lain laporan berkenaan ialah pendapatan purata isi rumah antara penduduk bandar dan luar bandar masih menunjukkan perbezaan ketara dengan penduduk luar bandar hanya memperoleh 58 peratus pendapatan penduduk bandar.

Ia bersamaan dengan perbezaan pendapatan bernilai RM3,631.

Sementara itu, kaum Cina memperoleh pendapatan purata lebih tinggi berbanding kaum lain iaitu sebanyak RM9,895 sebulan.

Kaum India pula memperoleh pendapatan purata RM8,216 di­ikuti kaum Bumiputera RM7,093. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN