fbpx

Skim mySalam: Pesakit Covid-19 layak dapat RM50 sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KRU mySalam sentiasa membantu golongan B40 di kios yang disediakan di hospital kerajaan di seluruh negara.

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang layak di bawah Skim Perlindungan Kesihatan Nasional mySalam boleh menuntut faedah penggantian pendapatan RM50 sehari untuk maksimum 14 hari setahun sekiranya dimasukkan ke hospital kerajaan akibat jangkitan Covid-19.

MySalam dalam kenyataannya berkata, perlindungan itu turut diberikan kepada individu yang dikuarantin akibat jangkitan virus sama di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Ini selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). Bagaimanapun perlindungan ini tidak tertakluk kepada individu yang melakukan kuarantin kendiri.

“Tuntutan mestilah dilakukan melalui laman rasmi mySalam. Dokumen yang diperlukan adalah surat arahan kuarantin atau surat pelepasan kuarantin yang dikeluarkan KKM,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, pesakit Covid-19 yang dilindungi oleh mySalam boleh juga membuat tuntutan bagi manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari terhad kepada 14 hari dalam setahun sekiranya mereka dimasukkan ke hospital bagi penyakit lain.

Antara Mac 2020 dan Jun 2021, pengelola skim Great Eastern Takaful Berhad telah membayar sebanyak RM76 juta tuntutan Covid-19 kepada 140,000 penerima.

Ia sebagai salah satu langkah memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat pandemik.

“Kaunter mySalam disediakan di 141 hospital awam dan universiti di seluruh negara sekiranya orang ramai ingin mendapatkan maklumat dan bantuan penghantaran tuntutan,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bantuan Covid-19 di bawah Skim mySalam, sila layari laman rasmi mySalam https://www.mysalam.com.my/b40/info/?url=main_EN. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI