KUALA KRAI – Seorang wanita dan bekas suaminya ditahan berhubung kes menanam janin di tepi rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang di sini kira-kira dua tahun lalu.
Wanita berusia 30 tahun dan bekas suaminya berusia 32 tahun ditahan selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini pada pukul 10.30 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustafa berkata, tangkapan ke atas dua individu itu dijalankan selepas lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan membuat laporan polis pada pukul 11 pagi semalam mengenai perbuatan bekas isterinya.
Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit dipercayai menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan sebelum menanam janin tersebut di tepi rumah.
“Pasangan itu sudah berpisah dan mempunyai tiga anak. Wanita tersebut dikatakan mempunyai kekasih selepas bercerai dengan bekas suaminya.
“Hasil hubungan dengan teman lelakinya, wanita itu dipercayai mengandung lima bulan sebelum menggugurkan kandungannya bagi mengelak keluarganya tahu mengenai perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Maizan berkata, lelaki itu dipercayai membuat laporan polis berhubung perbuatan bekas isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka selepas bercerai. – KOSMO! ONLINE
















