fbpx
Penggunaan material perabot seperti rotan dan warna biru laut mampu menterjemahkan konsep global beach decor.

Membawa ketenangan pantai ke dalam kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA pantai sentiasa dikaitkan dengan ketenangan, kesegaran dan kebebasan. Bunyi ombak, hembusan angin serta warna biru laut mampu memberikan kesan terapeutik kepada minda.

Atas sebab itu, konsep global beach decor semakin mendapat perhatian dalam dunia dekorasi dalaman kerana ia bukan sekadar menampilkan elemen pantai tropika, malah menggabungkan inspirasi daripada pelbagai destinasi pesisir dunia seperti Mediterranean, Bali, Santorini, Maldives, Hawaii dan kawasan pantai Australia.

Hasilnya ialah ruang kediaman yang tampak santai, elegan dan penuh karakter tanpa kelihatan berlebihan.

Berkongsi tentang konsep ini, pereka dalaman bebas, Faiz Abdullah berkata, langkah pertama untuk menghasilkan dekorasi global beach decor ialah memilih palet warna yang diinspirasikan daripada alam semula jadi.

“Warna putih, krim, pasir, biru laut, hijau lembut serta kelabu muda menjadi asas utama kerana mampu mencipta suasana lapang dan nyaman.

“Bagi menambahkan dimensi pada ruang, padankan rona neutral dengan sentuhan biru navy atau hijau zamrud pada kusyen, permaidani atau karya seni dinding. Kombinasi warna ini memberikan keseimbangan antara elemen moden dan semula jadi,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Kota Damansara, baru-baru ini.

Pemilik kediaman disarankan supaya memilih aksesori secara sederhana agar kediaman tidak kelihatan berselerak.

Tambahnya, selain warna, pemilihan material memainkan peranan penting dalam menyerlahkan konsep ini.

Perabot daripada kayu semula jadi, rotan, buluh, linen, kapas dan jut membantu menghadirkan tekstur organik yang menyerupai suasana rumah tepi pantai.

Pemilik rumah boleh memilih meja kopi kayu dengan kemasan semula jadi, kerusi rotan atau lampu gantung anyaman bagi memberikan identiti yang lebih autentik.

Kata Faiz lagi, konsep global beach decor juga menitikberatkan pencahayaan semula jadi. Bukaan tingkap yang besar membolehkan cahaya matahari memenuhi ruang sekali gus menjadikan kediaman kelihatan lebih terang dan luas.

Bagi menyerlahkan identiti global, hiasan dalaman boleh diilhamkan daripada pelbagai budaya pantai di seluruh dunia. Contohnya, pasu seramik gaya Mediterranean, bakul anyaman Bali, ukiran kayu Indonesia atau lukisan abstrak yang menggambarkan laut mampu memberi sentuhan unik.

Bagaimanapun, pemilik rumah disarankan memilih aksesori secara sederhana agar kediaman tidak kelihatan berselerak. Prinsip ‘less is more’ amat penting dalam konsep ini kerana ruang yang lapang lebih mencerminkan suasana santai di kawasan pantai.

Jelas Faiz, bagi mereka yang tinggal di kediaman bertingkat, sudut balkoni juga boleh dihias dengan tumbuhan tropika dan kerusi santai bagi mewujudkan ruang istirahat yang nyaman.

“Kusyen bercorak ombak, jalur nautika, motif daun palma atau tekstur tenunan mampu menambah karakter tanpa mengganggu keharmonian ruang,” katanya.

Ujarnya, konsep dekorasi ini bukan sekadar mengikut trend, tetapi mencerminkan gaya hidup yang menghargai ketenangan, kesederhanaan dan hubungan dengan alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN