fbpx
Tangkap layar memaparkan pergaduhan yang berlaku sekali gus menyebabkan kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan hari ini.

[VIDEO] Bergaduh tengah lebuh raya punca trafik arah selatan sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan beberapa individu dipercayai bertengkar di tengah laluan Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan berhampiran Seremban mencuri perhatian pengguna jalan raya hari ini.

Kejadian itu tular selepas beberapa rakaman dikongsikan di media sosial memaparkan sekumpulan individu berada di atas lebuh raya ketika keadaan trafik sesak.

Menerusi rakaman itu, sekurang-kurangnya tiga individu terdiri daripada pemilik supercar jenis Ferrari, Perodua Aruz dan penunggang motosikal dilihat berada di tengah laluan dipercayai selepas berlaku perselisihan faham.

Situasi itu turut menyebabkan beberapa pengguna lebuh raya terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melalui lokasi kejadian.

Seorang pengguna Threads mendakwa pertengkaran itu menjadi antara punca keadaan trafik di lokasi berkenaan semakin perlahan apabila terdapat pemandu memperlahankan kenderaan untuk melihat kejadian.

“Punca sesak! Dia boleh bergaduh pula tengah lebuh raya,” tulisnya.

Sementara itu, seorang individu yang mendakwa penunggang motosikal dalam rakaman tersebut tampil menjelaskan kejadian yang berlaku.

“Aku yang naik motor (motosikal). Tukang leraikan pergaduhan. Boleh pula bergaduh atas lebuh raya. Puncanya Ferrari tukar lorong secara tiba-tiba ke kiri,” dakwanya.

Dalam pada itu, pengguna lain turut menegur sikap pemandu di laluan bertentangan yang dikatakan memperlahankan kenderaan semata-mata untuk melihat kejadian.

“Yang jalan sebelah pun ‘kepochi’, padahal tak gaduh dekat lorong itu pun. Memang jem,” kata Arif.- KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN