fbpx
JKDM Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan barang campur dan minuman keras bernilai keseluruhan RM12.27 juta. FOTO IHSAN JKDM

Kastam N. Sembilan rampas barang seludup RM12.27 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyeludupan barangan dan minuman keras bernilai RM12.27 juta termasuk duti dan cukai dalam dua serbuan pada awal bulan lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Jamal Paiman berkata, rampasan itu membabitkan nilai barangan sebanyak RM4.67 juta dengan anggaran duti dan cukai RM7.6 juta.

Dalam serbuan pertama pada pukul 3 petang di Sepang, Selangor, anggota Bahagian Penguatkuasaan menahan lori dan menemukan 426 kotak mengandungi 3,669 kilogram (kg) barang termasuk barangan elektronik dan alat ganti kenderaan disyaki tidak diikrar.

“Nilai sitaan barangan termasuk lori dianggarkan RM640,268 dengan duti dan cukai sebanyak RM69,873.48. Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai membawa keluar barang dari kawasan zon bebas ke Kawasan Utama Kastam tanpa ikrar yang sah bagi mengelak pembayaran duti dan cukai.

Dalam serbuan kedua pada pukul 9.30 malam hari sama di sebuah gudang di Selangor, pihak JKDM merampas 16,096 botol dan 568,470 tin minuman keras disyaki barang larangan import bernilai RM4.03 juta, manakala duti dan cukai sebanyak RM7.53 juta.

“Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Modus operandi sindiket adalah dengan mengimport dan menyimpan minuman keras di gudang dalam kawasan Zon Bebas sebelum membawa keluar tanpa melalui prosedur yang sah,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN