fbpx
SALINA Saibi tergerak hati untuk berhijab selepas pulang mengerjakan umrah pada Syawal lalu.

‘Keluar rumah cari tudung dulu, doakan saya istiqamah berhijab’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Selepas pulang menunaikan ibadah umrah pada Syawal lalu, pelakon Salina Saibi mengakui terbuka hati untuk berhijab dan kini mengharapkan doa orang ramai agar terus istiqamah dengan penghijrahan tersebut.

Salina, 44, berkata, keputusan memakai hijab hadir daripada kerelaan sendiri dan masih dalam fasa bertatih menyesuaikan diri dengan penampilan baharu.

“Saya takut juga hendak bercakap mengenai perkara ini. Namun setakat ini semuanya baik. Inilah diri saya sekarang, seperti orang nampak.

“Perubahan ini berlaku selepas saya pulang daripada mengerjakan umrah. Insya-Allah doakan saya kerana saya pun insan lemah dan iman juga ada turun naik.

“Setiap kali memakai tudung, ada sahaja bisikan menguji. Kadang-kadang bukan sahaja daripada syaitan, tetapi juga daripada diri sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tiada yang mudah, pelakon Gerak Khas itu tidak menafikan setiap hari dirinya diuji, terutama apabila timbul bisikan untuk kembali kepada penampilan lama.

“Apabila pulang daripada umrah, memang banyak ujian kerana kita sedar bagaimana kehidupan sebelum ini. Jadi setiap kali hendak keluar rumah, saya akan cari tudung dahulu.

“Alhamdulillah, saya anggap ini satu perubahan baik. Saya lakukan semua ini kerana Allah, diri sendiri dan juga suami,” ujarnya pada Weekend Fete Al Aqsa Carpets di sini, semalam.

Lebih menyentuh hati, Pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 itu berkata, suaminya tidak pernah memaksa untuk berhijab, sebaliknya sekadar tersenyum melihat perubahan tersebut.

“Suami tidak pernah memaksa saya bertudung. Dia hanya tersenyum melihat perubahan ini. Jadi keputusan ini datang sepenuhnya daripada diri saya sendiri.

“Saya pun tidak berani bercakap lebih lanjut kerana kita tidak tahu apa berlaku pada masa depan. Apa saya mampu buat sekarang ialah cuba kuatkan semangat dan berharap dapat terus istiqamah,” jelasnya.

Mengimbau detik penghijrahan, Salina berkata dia sendiri tidak pernah berniat atau merancang untuk berhijab sebelum berangkat ke Tanah Suci, namun pengalaman sepanjang dua minggu di sana benar-benar mengubah jiwanya.

“Waktu pergi umrah sebenarnya saya langsung tidak berniat untuk bertudung. Mungkin doa orang lain untuk saya dimakbulkan Allah. Semuanya berlaku seperti satu keajaiban.

“Kami berada di sana selama dua minggu. Ketika itu saya rasa sangat berdosa kepada Allah jika masih tidak berusaha mematuhi perintah-Nya. Saya dan keluarga pun menangis kerana tidak sangka diberi peluang menjadi tetamu Allah,” kongsinya.

Pada masa sama, Salina mengakui masih merindui rambutnya yang suatu ketika dahulu menjadi antara aset kecantikannya, namun percaya kehidupan dunia hanya sementara.

“Saya memang rindu rambut saya. Saya akui rambut saya sangat cantik dan itu antara dugaan terbesar buat diri ini.

“Tetapi saya fikir, sampai bila hendak mengejar perkara dunia? Umur pun sudah menghampiri separuh abad. Kita tidak tahu sampai bila Allah pinjamkan usia.

“Kalau ada peluang melakukan kebaikan untuk diri sendiri, buatlah. Jangan terlalu sibuk memikirkan orang lain sehingga terlupa memperbaiki diri sendiri,” ungkapnya.

Paling penting, ibu dua anak itu mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah menghukum individu bertudung atau sebaliknya kerana setiap orang berdepan ujian berbeza.

“Ada orang bertudung kemudian membukanya semula kerana melalui ujian besar seperti perceraian atau trauma. Janganlah cepat menghukum kerana kita tidak berada di tempat mereka.

“Saya sendiri ada terima komen seperti masih muda untuk bertudung atau pakaian masih belum sempurna. Saya tahu semua itu dan sedang berusaha memperbaiki diri sedikit demi sedikit,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN