PETALING JAYA – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mampu membawa kemenangan kepada kedua-dua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan rekod ramalannya terhadap keputusan pilihan raya sebelum ini yang disifatkan hampir tepat.
“Johor saya ramal 45, dapat 48 kerusi. Negeri Sembilan saya ramal 25, dapat 25. Maka Melaka saya ramal BN-PN menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau percaya kerjasama yang terjalin antara BN dan PN mampu memberikan keputusan positif pada PRN Melaka.
Sementara itu, Ahmad berkata, beliau dimaklumkan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada kerjasama di Melaka, sekali gus membuka ruang kepada persefahaman antara BN dan PN.
“Saya difahamkan begitu kerana PH telah menarik diri di Melaka. Oleh itu BN dan PN, sebagaimana yang diberitahu oleh Pengerusi BN, persefahaman ini akan diteruskan di Melaka. Itu bukan kenyataan saya, saya mengulang kenyataan beliau,” katanya.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan gabungan BN-PN memenangi PRN Negeri Sembilan Ke-16. – KOSMO! ONLINE














