PENDERITAAN yang ditanggung sepanjang tempoh latihan ternyata berbaloi apabila atlet angkat berat negara, Siti Aqilah Farhana Draman melakar sejarah sebagai wanita Malaysia pertama meraih pingat perak pada Sukan Komanwel.
Atlet berusia 20 tahun itu mencipta keputusan membanggakan pada penampilan sulungnya di temasya di Glasgow, Scotland itu selepas mengumpul angkatan keseluruhan 253 kilogram (kg) menerusi 113kg dalam snatch dan 140kg dalam clean & jerk bagi kategori +86kg di Scottish Event Campus Armadillo.
Lebih mengagumkan, Aqilah berjaya menyempurnakan kesemua enam angkatannya tanpa sebarang masalah ketika berdepan saingan sengit daripada pencabar lain.
Aqilah mengakui dia langsung tidak menyangka mampu menaiki podium kerana tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang pingat.
“Perasaan saya sangat gembira dan teruja sebab saya memang tidak jangka menang pingat ini. Saya datang tanpa meletakkan harapan yang tinggi, tahu-tahu dapat pingat,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu menjadi lebih bermakna apabila dia kini bergelar atlet angkat berat wanita pertama negara meraih pingat perak di pentas Komanwel.
“Saya sangat bangga kerana dapat cipta sejarah ini. Sebelum bertanding saya fikir saya datang untuk buat yang terbaik sahaja dan tidak sangka boleh menang pingat,” katanya.
Mengulas aksi cemerlangnya, Aqilah berkata dia hanya berpegang kepada nasihat jurulatih supaya kekal tenang dan memberikan yang terbaik dalam setiap angkatan.
“Persaingan memang sangat sengit kerana perbezaan angkatan sangat rapat. Saya cuma ingat pesan jurulatih supaya buat yang terbaik. Alhamdulillah saya berjaya melakukan keenam-enam angkatan dengan baik dan akhirnya meraih tempat kedua,” ujarnya.
Di sebalik kejayaan bersejarah itu, Aqilah mendedahkan dia sebenarnya menjalani latihan dalam keadaan menahan kesakitan akibat kecederaan.
“Saya berlatih dalam keadaan sakit dan cedera. Memang sangat sakit, tetapi saya cuba abaikan kesakitan itu demi negara
“Saya ingin hadiahkan pingat ini kepada mak dan ayah saya di kampung serta semua jurulatih, terutama jurulatih negeri yang banyak berusaha untuk saya. Saya cuma ikut apa yang mereka ajarkan.
“Terima kasih kepada semua penyokong di Malaysia. Saya sudah memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Pingat emas dimenangi jaguh England, Emily Campbell dengan angkatan keseluruhan 278kg, manakala gangsa menjadi milik wakil Kanada, Etta Mae Love yang mencatat 250kg.
Kejayaan Aqilah menyaksikan Malaysia memperkukuhkan kedudukan kontinjen negara yang kini mengumpul enam emas, tiga perak dan tiga gangsa di Glasgow.














