PORT DICKSON – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung berharap pemimpin yang bakal dipilih mampu menghidupkan semula Port Dickson dengan mewujudkan lebih banyak tarikan baharu bagi menarik kehadiran pengunjung serta merancakkan ekonomi setempat.
Rata-rata mahu penduduk mahu usaha berterusan menjadikan Port Dickson kembali meriah, bukan hanya di hujung minggu atau musim cuti, sebaliknya sebagai destinasi yang sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Kata mereka, apa yang dilaksanakan oleh penyandang kerusi itu, Dr G. Rajasekaran sudah bagus dan berharap ia boleh dirancakkan lagi jika terpilih semula.
Seorang penduduk, Mohammad Khuzairi Jalaluddin, 25, berkata, pemimpin dipilih perlu bertanggungjawab, menepati janji serta amanah dalam membawa perubahan kepada rakyat.
Menurutnya, Port Dickson memerlukan lebih banyak tarikan supaya orang ramai mempunyai sebab untuk berkunjung pada setiap masa kerana ketika ini kawasan dilihat semakin lengang terutama selepas pukul 4 petang.
“Selain kawasan pantai, perlu ada tarikan lain yang boleh menjadi sebab orang datang dan meluangkan masa lebih lama di sini.
“Ini secara tidak langsung dapat memperkasakan ekonomi kecil dan industri kecil dan sederhana (IKS), selain menyediakan platform lebih luas kepada anak muda untuk menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Masmawati Ahmad, 49, berkata, Port Dickson pernah menjadi kawasan yang meriah berbanding sekarang dan memerlukan idea baharu untuk menarik semula pengunjung.
Pengundi Sri Tanjung yang menetap di Taman PD Utama sejak 10 tahun lalu itu berkata, ketiadaan tarikan baharu boleh menjadi antara punca orang ramai kurang berkunjung ke bandar itu.
“Dulu ada pasar karat yang menjadi tarikan, tetapi sekarang suasana tidak lagi seperti dahulu. Kita bimbang Port Dickson akan terus suram jika tiada usaha menghidupkannya.
“Perlu ada sesuatu yang baharu seperti aktiviti komuniti, tarikan pelancongan atau lokasi yang boleh menjadi tumpuan keluarga dan pelancong,” katanya.
Seorang peniaga Mohd. Haris Haja Mohideen, 31, berkata, sokongan kerajaan serta bantuan berterusan kepada golongan peniaga kecil penting bagi memastikan ekonomi setempat terus berkembang.
Katanya, pemimpin perlu membantu rakyat terutama usahawan kecil yang bergantung kepada aktiviti ekonomi tempatan.
“Saya harap pemimpin yang bakal dipilih mampu membawa nafas baharu kepada Port Dickson melalui penyediaan lebih banyak tarikan, sekali gus merancakkan ekonomi peniaga kecil,” katanya.














