fbpx
Polis melakukan siasatan di lokasi penemuan objek menyerupai bom tangan dan nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani hari ini.

Pekerja kilang jumpa objek serupa bom tangan, nota ugutan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Pekerja sebuah kilang papan di sini gempar apabila menemukan objek menyerupai bom tangan bersama sekeping nota berbaur ugutan di hadapan pintu masuk pejabat premis itu di Bukit Selambau, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pekerja wanita yang memaklumkan penemuan itu pada pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, sepasukan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek itu menyerupai bom tangan, namun ia tidak lengkap dan tidak berfungsi. Secara fizikal, ia menyerupai bom tangan.

“Siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan bagi mengenal pasti bahan yang digunakan diperbuat daripada besi, kayu atau bahan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati objek itu disedari oleh pekerja pada pukul 10 pagi di hadapan pintu utama pejabat yang digunakan oleh kakitangan untuk memasuki premis berkenaan.

“Sepanjang 10 tahun beroperasi, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya. Kita sedang mendapatkan keterangan saksi dan pihak pengurusan bagi mengenal pasti motif atau sama ada pernah berlaku ugutan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, nota yang ditinggalkan ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan dakwat merah dan mengandungi mesej meminta supaya operasi dihentikan.

“Bagaimanapun, lokasi objek itu ditemui tidak diliputi televisyen litar tertutup. Kita masih menyiasat maksud sebenar mesej tersebut dan operasi yang dimaksudkan dalam nota itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN