fbpx
ROSLAN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada 5,069 kilogram sirip ikan yu bernilai RM8.36 juta yang dirampas. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Sirip ikan yu RM8.36 juta dari Amerika Selatan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 5,069 kilogram (kg) sirip ikan yu yang dianggarkan bernilai RM8.36 juta termasuk cukai dalam serbuan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, awal bulan ini.

Pengarah Kastam Melaka, Roslan Yusoff berkata, rampasan membabitkan 180 guni sirip ikan yu itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari pada 2 Julai lalu hasil operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kontena berkenaan diikrarkan sebagai Fish Skin (Kulit Ikan) yang hanya dikenakan cukai lima peratus.

“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal menemukan 180 guni mengandungi 5,069 kg sirip ikan yu yang sepatutnya diikrarkan dengan kadar cukai 10 peratus.

“Import sirip ikan yu juga tertakluk kepada pemeriksaan serta kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perikanan Malaysia mengikut peruntukan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sirip ikan yu terbabit dipercayai dibawa masuk dari Republik Guyana Amerika Selatan untuk pasaran tempatan.

“Sirip ikan yu ini dijual sekitar RM1,500 hingga RM4,000 sekilogram bergantung kepada gred dan semua barang rampasan akan dihantar ke Jabatan Perikanan Malaysia bagi mengenal pasti ketulenan spesies sirip ikan yu berkenaan.

“Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala pengarah syarikat pengimport yang berpangkalan di Selangor sedang dikesan,” katanya.

Roslan berkata, syarikat terbabit dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira lima tahun lalu dan turut membawa masuk pelbagai jenis barangan lain.

Tambah beliau, siasatan mendapati kontena tersebut gagal diikrarkan dengan betul dipercayai bagi mengelak pemeriksaan MAQIS selain mengurangkan bayaran cukai import sebenar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN