TELUK INTAN – Pemandu lelaki yang didapati positif dadah dan terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak di sini semalam ditahan reman hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, lelaki berusia 28 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis ini.
“Permohonan dibuat hari ini dan mahkamah membenarkan empat hari reman terhadap lelaki itu,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, dua remaja perempuan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Padang Tembak menghala ke Kampung Banjar semalam.
Mangsa, Nur Dania Arissa Salim, 17, yang merupakan penunggang motosikal dan pembonceng, Nur Atikah Abdullah, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Terdahulu, Kok Lian berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Menurut beliau, kereta tersebut kemudian melanggar motosikal yang ditunggang kedua-dua mangsa dan sebuah lagi kereta yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada di tepi jalan.
“Hasil saringan awal air kencing ke atas pemandu kereta mendapati lelaki itu positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














