KOTA BHARU – Persatuan Orang Pekak Kelantan (Kelsdeaf) menyeru pihak-pihak berkepentingan tampil membantu usaha menjayakan penganjuran Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia (KFOPM) edisi keenam di negeri ini, pada 2 hingga 5 September ini.
Presidennya, Saiful Helmie Dzamani berkata, selaku juara bertahan, Kelsdeaf telah diberikan penghormatan sebagai tuan rumah buat pertama kalinya pada edisi kali ini, tetapi berdepan pelbagai kesukaran, cabaran dan halangan untuk menjayakannya.
Menurutnya, kos asal untuk menjayakan penganjuran KFOPM adalah sebanyak RM200,000 merangkumi penginapan bagi seramai 300 atlet termasuk pegawai pasukan yang dijangka tiba dari kesemua 14 negeri di Malaysia.
“Pihak kami telah mencuba sebaik mungkin untuk membuat pengecilan bajet walaupun menyedari perbelanjaan untuk menyediakan penginapan, venue kejohanan, logistik dan lain-lain perkara sangat mahal pada masa kini.
“Setelah berusaha sedaya mungkin, kita berjaya mencapai anggaran bajet minimum RM100,000 untuk penganjuran sekadar kemampuan,” katanya dengan diterjemahkan oleh jurubahasa isyarat, Mohamad Nazrul Azwa Zulkipply yang juga Setiausaha Agung Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) pada sidang media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saiful Helmie memberitahu, Kelsdeaf merupakan juara dua kali KFOPM turut berdepan kesukaran menjalani latihan akibat tiada pendanaan sehingga memaksa setiap atlet mencari alternatif untuk menjalani latihan bersendirian sebelum dapat menjalani latihan bersama berhampiran tarikh kejohanan.
“Sangat merugikan kerana KFOPM merupakan platform mencari bakat untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan bagi membawa cabaran negara pada ASEAN Deaf Games edisi ketiga di Pulau Pinang, tahun depan, selain membuat persiapan ke peringkat Asia Pasifik dan Deaflympics.
“Selain itu, kami telah mula membuat tempahan ambulans, perubatan, hotel sejak November tahun lalu dan kini memerlukan dana dalam kadar segera untuk melunaskan pembayaran atau sekurang-kurangnya menjelaskan bayaran deposit, sebelum tempahan kami dibatalkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














