KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sah bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain, 2 hingga 4 Oktober ini.
Pengesahan ini dibuat menerusi satu kenyataan rasmi F1 dan ia turut menyerlahkan visi hebat Bahrain dan komitmen berterusan mereka terhadap sukan ini.
“Ini merupakan berita baik untuk peminat Formula 1 di seluruh dunia. Sepang merupakan salah satu litar Formula 1 yang paling ikonik dan mencabar, terkenal dengan peminatnya yang bersemangat, perlumbaan yang mengujakan dan cuaca yang tidak menentu, menjadikannya tempat yang ideal untuk jadi tuan rumah,” menurut kenyataan rasmi.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman rasmi F1 berhubung penganjuran GP Bahrain di Sepang.
Menteri KBS, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, perkhabaran ini menggambarkan hubungan baik antara Malaysia dan Bahrain.
“KBS menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan ini di Malaysia.
“Persetujuan yang dicapai ini mencerminkan hubungan persahabatan yang utuh antara Malaysia dan Bahrain, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
“Penganjuran ini juga dijangka memberi limpahan manfaat kepada ekonomi tempatan menerusi pelancongan, pelaburan dan aktiviti ekonomi berkaitan sukan,” Katanya. – KOSMO! ONLINE













