fbpx
Kapal layar Dayang Mastura Yacht menawarkan perlayaran eksklusif (kiri).

Perlayaran ‘Dayang Mastura’ di pulau legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Keindahan Langkawi bukan sahaja terletak pada pantai berpasir putih dan kehijauan hutan hujan tropikanya, malah pada pengalaman meneroka kepulauan itu dari perspektif berbeza menerusi pelayaran di Laut Andaman.

Bagi pengunjung yang ingin menikmati percutian lebih eksklusif, pengalaman belayar sambil menghayati panorama gugusan pulau, formasi batu kapur serta keindahan Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kebanggaan pulau legenda itu, patut dicuba.

Mungkin tidak ramai yang menyedari terdapat gaya percutian sedemikian di Langkawi, Kedah.

Dayang Mastura Yacht ialah kapal layar mewah yang menjadi antara pengalaman eksklusif di The Ritz-Carlton, Langkawi dengan operasi dikendalikan oleh AJ Resorts Sdn. Bhd.

Direka menggabungkan elemen kemewahan dan keselesaan, kapal layar mewah tersebut adalah daripada jenis Lagoon 620 sailing catamaran yang dibina dengan sentuhan pertukangan Eropah dan dihiasi rekaan dalaman oleh firma Itali, Nauta Design.

Ia mampu membawa sehingga 20 penumpang pada satu-satu masa, selain dilengkapi ruang makan dalaman dan terbuka, ruang santai, dek berjemur serta empat kabin en suite bagi memenuhi keperluan pelayaran sehari mahupun penginapan di atas laut.

Lebih menarik, bukan sekadar belayar menikmati panorama lautan, penumpang turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti rekreasi seperti snorkeling, berkayak, paddleboarding dan memancing di perairan jernih sekitar Langkawi.

Laluan pelayaran yang bermula dari Telaga Harbour Park membawa tetamu menelusuri pesisir Machinchang, Selat Chinchin serta beberapa pulau seperti Pulau Rebak Besar dan Pulau Intan Kecil yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian marin.

Dikelilingi panorama laut membiru dan kehijauan hutan hujan purba, suasana tenang di atas kapal layar memberi peluang kepada tetamu menikmati detik rehat yang jauh daripada kesibukan kota sambil menghirup udara segar Laut Andaman.

Suasana di dalam kapal layar tersebut yang menawarkan gaya eksklusif.

Menurut Ketua Unit Perniagaan Riadah dan Rekreasi AJ Resorts Sdn. Bhd., Amirrolshah Idris, setiap pelayaran direka bagi memenuhi keperluan orang ramai sama ada untuk percutian bersama keluarga, sambutan istimewa, acara korporat mahupun menikmati keindahan matahari terbenam di ufuk Langkawi.

“Dengan khidmat kapten dan kru profesional, setiap perjalanan disusun bagi memastikan keselesaan serta keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Menurut seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, dia pertama kali mencuba pelayaran tersebut beberapa bulan lalu dan amat menyukainya.

“Pengalaman menaiki kapal layar mewah Dayang Mastura adalah sesuatu yang baharu buat saya. Ruang dalamannya mewah dan cukup selesa untuk aktiviti percutian bersama keluarga.

“Apa yang paling saya suka adalah apabila berpeluang melihat panorama matahari terbenam dari atas kapal yang sememangnya sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” katanya.

Seiring perkembangan industri pelancongan, pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung kini bukan lagi sekadar tertumpu kepada destinasi, sebaliknya bagaimana sesuatu perjalanan itu mampu meninggalkan memori yang bermakna.

Menerusi gabungan keindahan semula jadi Langkawi, kemudahan bertaraf premium serta pelbagai aktiviti yang ditawarkan. Dayang Mastura Yacht membuktikan bahawa pelayaran di lautan mampu membuka perspektif baharu terhadap keunikan pulau legenda itu, sekali gus memperkaya pilihan pengalaman bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN