PORT DICKSON – Hanya bergantung kepada hasil jualan buah naga untuk menyara keluarga, seorang peniaga warga emas mengakui kehidupannya semakin terhimpit apabila jualan semakin perlahan, manakala kuasa beli pelanggan terus merosot.
Yew Cheng Yit, 61, berkata, dia dan suami sudah berniaga kira-kira empat tahun di Jalan Tanah Merah Site A di sini, namun pendapatan yang diperoleh hanya sederhana dan tidak menentu.
Katanya, perniagaan biasanya lebih rancak pada Sabtu dan Ahad, manakala pendapatan tertinggi yang pernah diperoleh sekitar RM400 sehari, lazimnya pada Jumaat atau Sabtu.
“Kalau hari biasa, pendapatan lebih kurang RM100, tetapi bukan setiap hari ada jualan,” katanya ketika ditemui di gerainya kelmarin.
Menurut Cheng Yit, keadaan ekonomi menyebabkan pelanggan kini lebih berjimat apabila berbelanja.
“Dulu pelanggan boleh habiskan RM50 hingga RM60 untuk beli buah, tetapi sekarang kebanyakannya hanya beli sekitar RM10. Memang nampak kuasa beli semakin rendah,” katanya.
Ujarnya, dia mempunyai empat anak termasuk seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia lingkungan 20-an yang masih memerlukan perhatian keluarga.
“Saya dan suami bergilir-gilir menguruskan kebun dan berniaga dengan pendapatan bergantung kepada hasil pengeluaran buah naga.
“Kadang-kadang pendapatan kami hanya sekitar RM60 sehari. Akibatnya, payung untuk berniaga pun sudah koyak tetapi belum ada kemampuan untuk membeli yang baharu,” katanya.
Menurutnya, sebagai warga emas yang turut berdepan masalah kesihatan, mereka tidak mempunyai pilihan lain selain terus berniaga demi kelangsungan hidup.
“Saya berharap kerajaan dan pemimpin dapat membantu peniaga kecil seperti kami kerana inilah satu-satunya sumber pendapatan kami,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














