BANGKOK – Pihak berkuasa Pattaya menggesa penduduk dan pelancong tidak memberi wang kepada gelandangan serta pengemis dalam usaha mengawal selia ruang awam dan menggalakkan golongan terpinggir memanfaatkan akses perkhidmatan kebajikan kerajaan, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Satu operasi dijalankan di Pantai Pattaya, Soi Buo Khao dan beberapa lokasi lain, baru-baru ini susulan aduan daripada penduduk tempatan.
Tindakan bersepadu itu melibatkan penyertaan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan dipimpin oleh Timbalan Datuk Bandar Pattaya, Damrongkiat Pinitkan.
Matlamat utama operasi adalah mengenal pasti gelandangan dan menawarkan bantuan selaras dengan prinsip kebajikan sosial, selain mempertingkatkan kebersihan serta ketenteraman di tempat awam.
“Ia juga bertujuan meningkatkan imej Pattaya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka di Thailand sambil menangani aduan berhubung gangguan di beberapa tempat awam,” kata Pinitkan.
Menurutnya, kebanyakan gelandangan menolak bantuan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan.
“Beberapa gelandangan yang ditemu bual memilih untuk kekal di Pantai Pattaya kerana mereka kerap menerima wang dan bantuan lain daripada pengunjung termasuk pelancong.
“Beberapa individu membeli tikar dan kerusi untuk disewakan secara haram kepada pengunjung, sehingga menimbulkan pertelingkahan apabila mereka enggan menyewa peralatan tersebut,” kata Pinitkan. – AGENSI














