JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menegaskan pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri dibuat mengikut ruang kuasa pentadbiran berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan berkenaan tidak mewujudkan sebarang kuasa eksekutif baharu, tidak memindahkan kuasa Exco sedia ada, mahupun mengubah struktur pentadbiran negeri.
Menurutnya, langkah itu diambil semata-mata sebagai mekanisme pentadbiran bagi memperkukuhkan pelaksanaan dasar dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Adalah penting difahami bahawa Timbalan Exco bukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Mereka tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bagi pihak Exco, tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri dan tidak mempunyai kuasa meluluskan dasar, kewangan atau apa-apa keputusan eksekutif.
“Semua kuasa membuat keputusan kekal berada sepenuhnya di bawah Ahli MMK sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menjawab serangan politik dan kritikan yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhubung pelantikan jawatan tersebut baru-baru ini.
Onn Hafiz menambah, pelantikan itu bukan bertujuan untuk menambah jawatan politik atau memperbesar birokrasi, sebaliknya bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran supaya pemantauan projek dan penyelesaian isu rakyat dapat dilaksanakan secara lebih cekap, pantas dan berkesan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, Johor kini sedang memacu pelbagai agenda strategik berimpak tinggi menjelang tahun 2030, antaranya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dan projek Sistem Transit Rapid (RTS Link).
Katanya, seiring perkembangan pesat tersebut, kapasiti pentadbiran negeri perlu diperkukuhkan agar setiap dasar yang dirancang dapat diterjemahkan kepada hasil nyata demi manfaat Bangsa Johor.
“Pelantikan ini dibuat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri dan hanya melibatkan implikasi kewangan yang minimum, dengan penggunaan aset serta kemudahan sedia ada.
“Tiada portfolio baharu diwujudkan dan tiada pertambahan struktur pentadbiran yang membebankan kewangan negeri,” katanya lagi.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa komited untuk mentadbir secara telus, berhemah dan bertanggungjawab dengan setiap keputusan dibuat berpaksikan kepentingan rakyat serta keperluan semasa. – KOSMO! ONLINE














