KUALA LUMPUR – Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah muncul penyelamat kem badminton negara apabila menjadi wakil tunggal Malaysia melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou, hari ini.
Pasangan ranking kelima dunia itu menempah tiket ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan beregu muda Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-19, 21-12 dalam tempoh 30 minit pada aksi pusingan kedua.
Kemenangan itu menyaksikan Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran lebih getir apabila dijadual menentang beregu pilihan keempat dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Fukushima-Matsumoto mara dengan penuh bergaya selepas menundukkan rakan senegara mereka, Hinata Suzuki-Nao Yamakita 21-16, 21-10 dalam masa 35 minit.
Rekod pertemuan memberi sedikit kelebihan kepada Pearly-Thinaah apabila mereka mencipta lima kemenangan daripada sembilan pertemuan menentang pasangan No. 3 dunia itu.
Namun, tiga pertemuan terakhir memihak kepada Fukushima-Matsumoto, termasuk kemenangan pada aksi separuh akhir Terbuka India pada Januari lalu yang menjadi pertemuan terakhir kedua-dua pasangan.
Pearly-Thinaah kini menggalas harapan negara selepas muncul satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran di Changzhou susulan penyingkiran enam lagi wakil negara membabitkan tiga beregu lelaki, dua beregu campuran dan seorang perseorangan lelaki pada pusingan kedua.-KOSMO! ONLINE














