HULU SELANGOR – Dua penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya dengan meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua-dua kaki ke belakang di Kilometer 407.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Manimaran Muniandi berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kes memandu secara berbahaya itu kira-kira pukul 4.06 pagi Rabu.
Menurut beliau, siasatan mendapati pada 22 Julai 2026 kira-kira pukul 9 malam, polis bertindak hasil rakaman video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya tersebut.
“Dalam kes ini tiada kemalangan, kerosakan atau kecederaan. Kedua-dua penunggang motosikal telah ditahan dan dibawa ke Balai Trafik IPD Hulu Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Masrina Idris di talian 03-6064 1222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














