fbpx
Abdul Halim. Foto FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

10 saksi sudah dipanggil bantu siasatan KWAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan siasatan berhubung kerugian pelaburan kira-kira RM200 juta (USD35 juta) oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery dengan memberi tumpuan kepada unsur rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta aspek tatakelola.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, satu pasukan khas yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan telah ditubuhkan membabitkan pegawai daripada Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola bagi menjalankan siasatan yang bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu.

Menurut beliau, pegawai penyiasat memasuki premis KWAP pada 20 Julai untuk memulakan siasatan, manakala rakaman percakapan saksi bermula sehari kemudian.

“Setakat 22 Julai, seramai 10 saksi terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang terlibat dalam proses membuat keputusan telah dipanggil membantu siasatan dan rakaman percakapan mereka telah dimuktamadkan.

“Ketika ini pegawai penyiasat sedang meneliti keterangan saksi serta mengkaji dokumen yang diperoleh selain melaksanakan jejak aliran kewangan termasuk transaksi CTR dan STR,” katanya dalam kenyataan video TikTOK SPRM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih ramai individu dijangka dipanggil memberi keterangan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat dalam keputusan pelaburan tersebut.

Katanya, antara dokumen yang sedang diteliti ialah kertas cadangan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan due diligence, dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP.

Menurut beliau, beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti bagi membantu siasatan dan SPRM akan mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan keterangan saksi berkaitan.

“Saya telah mengarahkan pasukan siasatan menjalankan siasatan secara terperinci, telus, adil dan menyeluruh. Kami tidak akan meninggalkan sebarang petunjuk dalam usaha mencari bukti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN