LONDON – Arena bola sepak England kehilangan sebutir pertama apabila legenda The Three Lions, Kevin Keegan menghembuskan nafas terakhir semalam selepas bertarung dengan kanser tahap empat.
Perkembangan duka tersebut dikongsikan pihak keluarga Keegan yang mengumumkan pemergian bekas penyerang Liverpool itu selain meminta semua pihak supaya memberi ruang kepada mereka untuk berkabung.
“Dengan rasa penuh dukacita kami mengumumkan Kevin Keegan meninggal dunia pada usia 75 tahun. Bekas pemain dan pengurus England itu bertarung dengan kanser selain detik terakhirnya ditemani ahli keluarga.
“Kevin (Keegan), pemenang dua anugerah Ballon d’Or merupakan seorang individu yang sangat penyayang. Ini adalah detik sukar untuk ahli keluarga dan harap semua pihak dapat berikan ruang kepada kami,” kata kenyataan itu.
Sepanjang karier sebagai pemain, beliau dianggap antara pemain terbaik di dunia apabila pernah membantu Liverpool menjadi juara saingan Divisyen Satu sebanyak tiga kali selain meraih anugerah Ballon d’Or.
Sementara itu, Newcastle United turut memberikan penghargaan kepada Keegan yang pernah membantu The Magpies menjadi pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun pasukan ketika itu sedang bergelut.
“Kami sangat berdukacita dengan berita pemergian Kevin Keegan. Bagi pasukan ini, beliau bukan sekadar pemain bola dan pengurus legenda tetapi boleh dianggap sebagai nadi buat penyokong Newcastle,” kata Newcastle dalam satu kenyataan. – AGENSI














