IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) meraih pingat emas dan ketiga dalam berkaitan inovasi penyampaian perkhidmatan pada Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif & Kreatif (HBKIK) 2026 Peringkat Kebangsaan.
Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pembangunan e-Rubric iaitu sistem penilaian digital berasaskan rubrik yang dibangunkan bagi memperkasakan proses penilaian akademik supaya lebih sistematik, telus, cekap dan berkualiti.
“Ini menyokong agenda pendigitalan penyampaian perkhidmatan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pencapaian tersebut membuktikan warga PUO bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah berupaya menghasilkan inovasi yang memberi impak tinggi kepada organisasi dan sistem pendidikan negara,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pencapaian itu selaras dengan aspirasi PUO sebagai Politeknik APEX yang sentiasa memperkasakan budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan berterusan dalam melahirkan graduan serta warga kerja yang kompeten, berdaya saing dan berfikiran futuristik.
HBKIK merupakan platform tahunan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengiktiraf projek inovasi dan amalan terbaik yang mampu meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memperkasa budaya inovasi warga politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














