JITRA – Jenazah seorang wanita berusia 28 tahun dan sepupu lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, di sini semalam selamat dikebumikan.
Jenazah Nur Atikah Abdullah dan Muhammad Aariz Daniel Md Radzi selamat dikebumikan dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas, di sini kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Kira-kira 200 orang hadir pada majlis pengebumian tersebut.
Terdahulu, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.
Kosmo! semalam melaporkan keseronokan pengunjung mandi-manda di Sungai Sedim bertukar tragedi apabila fenomena kepala air meragut tiga nyawa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang maut ialah Nur Atikah dan Muhammad Aariz Daniel serta Muhammad Uzair daripada sebuah keluarga lain. – KOSMO! ONLINE














