PETALING JAYA – Jalan Raja di hadapan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya bermula 21 hingga 27 Julai ini bagi memberi laluan kepada persiapan penganjuran Citrawarna 2026.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, penutupan itu dibuat bagi kerja-kerja persiapan, operasi dan pembongkaran acara yang akan berlangsung di Dataran Merdeka.
Selain itu, penutupan penuh di beberapa jalan turut dilaksanakan sempena raptai pada pukul 9 malam hingga 2 pagi, 24 Julai ini serta Citra Perarakan (Colours of Parade) pada 25 Julai dari pukul 6 petang hingga 11 malam.
Laluan yang terlibat adalah dari Bulatan Dato’ Onn ke Jalan Parlimen hingga Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak, selain susur masuk Jalan Kinabalu ke Jalan Sultan Hishamuddin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda lalu lintas dan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan jalan.
“Pengunjung juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan ke Dataran Merdeka,” katanya.
Bagi memudahkan orang ramai menghadiri festival itu, Grab menawarkan baucar diskaun e-hailing RM3 kepada 1,000 pengguna terawal dengan jumlah keseluruhan 3,000 baucar bernilai RM9,000.
Citrawarna 2026 akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 Julai dengan menghimpunkan pelbagai persembahan seni, budaya, warisan dan gastronomi Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026. – KOSMO! ONLINE






