CAMERON HIGHLANDS – Bukan sahaja tiada kelulusan untuk menjalankan aktiviti pengumpulan sayur, malah turut membina bangunan atas tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Itu antara kesalahan yang dikesan dalam operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah premis di Jalan Blue Valley, Kampung Raja di sini semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan pukul 11.05 pagi itu, pengusaha premis gagal mengemukakan dokumen kelulusan yang sah untuk mengumpul dan menyimpan sayur di premis.
“Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk trak pikap, jentera, peralatan dan sayur bernilai RM555,000.
“Seramai 16 individu ditahan disyaki melakukan kesalahan menduduki tanah kerajaan secara tidak sah dengan membina dan menggunakan bangunan sebagai tempat urusan jual beli, stor dan pejabat tanpa kebenaran di bawah Kanun Tanah Negara,” katanya hari ini.
Tambahnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang untuk tindakan lanjut. Majlis Daerah Cameron Highlands turut mengeluarkan kompaun RM2,000 terhadap pemilik premis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 426A(1)(b) Kanun Tanah Negara (Akta 828). Berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku menjalankan aktiviti jual beli, stor pejabat di lokasi tersebut sejak Jun tahun lalu.
Jelasnya, hasil sayuran yang dipetik akan dihantar ke Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan negeri lain mengikut permintaan.- KOSMO! ONLINE














