TANJONG MALIM – Program Bina Insan Bitara (BIB) yang diperkenalkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2022 berjaya membentuk lebih 10,000 mahasiswa diploma dan ijazah sarjana muda melalui pelbagai modul pembangunan karakter dan kepimpinan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata program itu diperkenalkan sebagai platform pembangunan sahsiah yang menjadi identiti universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki nilai integriti, daya tahan dan semangat kepimpinan.
“Universiti mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menyampaikan ilmu. Kita perlu membentuk insan yang mempunyai nilai, integriti dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
“Itulah yang menjadi asas kepada pembinaan Jiwa UPSI, iaitu identiti mahasiswa yang berilmu, berakhlak dan bersedia menyumbang kepada agama, bangsa serta negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata konsep Jiwa UPSI merupakan manifestasi falsafah pendidikan universiti yang menekankan keseimbangan antara kecerdasan intelektual, kematangan emosi, kekuatan rohani dan tanggungjawab sosial.
Menurut beliau, Program Bina Insan Bitara yang diterajui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bersama fakulti-fakulti di UPSI menjadi medium terbaik untuk menterjemahkan falsafah tersebut melalui pengalaman pembelajaran yang membentuk karakter mahasiswa secara langsung.
Katanya, mahasiswa yang mengikuti program itu didedahkan kepada pelbagai aktiviti termasuk latihan kepimpinan, pembinaan pasukan, pengurusan konflik, khidmat komuniti, penghayatan nilai kenegaraan serta aktiviti lapangan yang menguji ketahanan mental dan fizikal.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata pembentukan karakter tidak boleh dilakukan secara teori semata-mata, sebaliknya memerlukan pengalaman sebenar yang mampu mengubah cara berfikir dan bertindak seseorang mahasiswa.
“Program Bina Insan Bitara dibangunkan bagi memastikan mahasiswa melalui proses pembelajaran yang membolehkan mereka mengenali potensi diri, memperkasa jati diri, memahami kepentingan kerja berpasukan, membina keyakinan dan menghayati nilai kepimpinan yang berteraskan integriti.
“Kita mahu mahasiswa UPSI bukan sekadar memiliki ilmu, tetapi mempunyai karakter dan jati diri yang mampu menyerlah apabila berada di sekolah, organisasi, komuniti mahupun dalam kehidupan bermasyarakat. Nilai itulah yang membentuk Jiwa UPSI,” katanya.
Beliau berkata pembangunan karakter perlu bermula seawal kemasukan mahasiswa ke universiti kerana tempoh pengajian merupakan fasa penting dalam membentuk keperibadian, pemikiran dan nilai yang akan dibawa sehingga ke alam pekerjaan.
Program Bina Insan Bitara turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan insan secara menyeluruh serta melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa depan. – KOSMO! ONLINE














