WISCONSIN, AMERIKA SYARIKAT – Seorang penunggang motosikal Harley Davidson Sport mencatatkan nama dalam sejarah permotoran dunia sebagai pemandu dengan jarak perjalanan tertinggi untuk sebuah motosikal, lapor laman berita Top Speed.
Bekas senator, Dave Zien yang menunggang Harley-Davidson Sport Glide model 1991 miliknya telah mencatatkan jarak tempuh 1.6 juta kilometer.
Zien mencipta sejarah rasmi tersebut pada tahun 2009 selepas menamatkan perjalanan selama 18 tahun.
Disebabkan ketahanan jentera yang luar biasa serta kegigihannya, syarikat gergasi Harley Davidson yang bertapak lebih 120 tahun dalam industri motosikal, turut memberi penghormatan atas kesetiaan yang jarang berlaku itu.
Rekod tersebut berjaya dicapai hasil gabungan dedikasi puluhan tahun di lebuh raya, penyelenggaraan mekanikal yang sangat teliti, dan keazaman yang tinggi.
Sebelum dikenali dengan rekod dunia itu, Zien sememangnya peminat motosikal yang disegani.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Wisconsin Better Bikers Association dan dipilih menganggotai Dewan Negeri Wisconsin pada 1988 untuk memperjuangkan hak penunggang. – AGENSI














