JEMPOL – Pusat Giat Mara Negeri Sembilan berjaya menempa nama apabila kenderaan pengangkut rekaannya berjaya membawa pulang trofi di Darul Aman Retro (DARE), Sungai Petani dan Retro Hevoc di Petaling Jaya baru-baru ini.
Menurut Ketua Projek, Tc. Maz Lizuardi Shahrizal Ab. Rahman, kereta yang diberi nama The Traveller’s itu sebenarnya dicipta untuk Pertandingan Reka Cipta Giat Mara Custom Car Challenge (GM3C) anjuran Giat Mara Malaysia pada tahun lepas.
Katanya, idea asal reka bentuk kereta itu diinspirasikan berdasarkan model Chevrolet 3100 dan dibina semula menggunakan kreativiti pasukannya seramai 12 orang dalam kalangan tenaga pengajar Giat Mara di Negeri Sembilan.
“The Traveller’s sebenarnya merupakan dua buah kereta Perodua Kancil yang kami gunakan sebagai asas kenderaan ini.
“Hanya 30 peratus barang-barang kenderaan asal yang masih digunakan pada The Traveller’s sebagai contoh enjin, casis, sistem suspensi kenderaan dan sebahagian ruang dalaman,” katanya ketika ditemui di Giat Mara Jempol di sini semalam.
Tambahnya, ruang belakang The Traveller’s boleh memuatkan sebuah motosikal Harley-Davidson Sportster.
“Pembinaan kereta ini mengambil masa kira-kira tiga bulan dengan kos RM30,000.
“Spesifikasi kereta ini menggunakan enjin Perodua Kancil 850, bahagian hadapan menggunakan gentian fiber, rim bersaiz 14 inci, sistem infotainment dengan skrin sentuh dan bumbung yang direndahkan,” tambahnya.














