fbpx
SITI menuntut cerai kerana tidak tahan dengan sikap suaminya yang malas bekerja dan culas dalam memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Hidup tenang lepas berpisah dengan suami pemalas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANGKARA culas dalam memikul tanggungjawab, sebuah ikatan perkahwinan yang sudah bertahan selama 17 tahun akhirnya musnah apabila seorang isteri nekad menuntut perceraian di Mahkamah Syariah.

Keputusan nekad itu diambil oleh Siti (bukan nama sebenar) selepas menyedari pengorbanannya langsung tidak dihargai oleh lelaki bergelar suami.

Mengimbas kembali kisah duka tersebut, Siti memberitahu, fasa awal perkahwinan mereka tidak seindah yang disangka apabila sudah dilanda krisis.

Pada mulanya, suaminya ada memberikan wang belanja untuk perbelanjaan rumah.

Namun lama-kelamaan, suaminya mula culas selepas kerap bertukar pekerjaan, sebelum mengambil keputusan berhenti kerja tanpa alasan munasabah.

“Pada awal berkahwin, dia (suami) ada bagi sedikit nafkah, tapi selepas itu terus tiada sehinggakan semua perbelanjaan rumah saya yang kena tanggung.

“Saya terpaksa menggalas tanggungjawab menanggung kos tempat tinggal, makan minum, serta pakaian kami sekeluarga dengan titik peluh sendiri.

“Apabila saya tegur dan minta dia (suami) cari kerja tetap, dia langsung tidak endah. Sebaliknya, dia pula marah saya.

“Lama-kelamaan, saya rasa rumah tangga kami sudah tiada makna kerana saya terpaksa menanggung lelaki yang sihat tubuh badan tapi malas dan enggan bekerja,” ujar wanita berusia 43 tahun itu.

Menurut Siti, keadaan menjadi semakin meruncing apabila dia terpaksa bekerja lebih keras demi memastikan segala keperluan asas anak-anaknya dapat dipenuhi tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Siti juga terpaksa mengurus dan membahagikan wang gajinya supaya cukup untuk membayar segala komitmen bulanan.

Biarpun penat mengerah tenaga mencari rezeki pada setiap hari, namun dia tetap cekal demi kelangsungan hidup anak-anaknya.

Di kala Siti bergelut bersendirian mencari wang sebagai kerani di sebuah syarikat, suaminya hanya membutakan mata dan memilih untuk menghabiskan masa tidur serta keluar berseronok dengan kawan-kawan.

Siti memberitahu, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk mempertahankan keharmonian rumah tangga mereka.

Namun, selepas peluang demi peluang diberikan, wanita cekal itu akhirnya nekad membawa kes berkenaan ke muka pengadilan demi masa depan anak-anaknya.

“Saya bagi peluang banyak kali dengan harapan dia (suami) akan berubah demi masa depan kami.

“Namun, detik yang membuatkan saya benar-benar nekad berpisah adalah apabila lihat dia langsung tidak pernah mempedulikan nasib, perasaan dan kebajikan keluarga,” jelasnya dalam nada kesal.

Menceritakan pengalamannya menuntut perceraian, Siti tidak menafikan bahawa prosedurnya agak sukar pada peringkat awal.

Bagaimanapun, dia bersyukur segala urusannya berjalan lancar dan dipermudahkan oleh pihak Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Siti memaklumkan, kehidupannya kini jauh lebih tenang berbanding sewaktu bergelar isteri dahulu.

Pengalaman pahit lalu dijadikan iktibar untuk bangkit lebih matang sebagai ibu tunggal demi membesarkan anak-anak dalam persekitaran lebih sihat, tenang dan bebas daripada bebanan.

“Kehidupan sekarang jauh lebih bagus dari dulu.

“Saya bangkit semula dari sudut emosi dan mental demi anak-anak.

“Setiap kali saya rasa lemah atau hendak mengalah, saya akan ingat anak-anak kerana mereka adalah sumber kekuatan serta penguat semangat untuk saya meneruskan hidup,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN