SUNGAI PETANI – Dua lelaki suruhan along masing-masing dipenjara selama 18 bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengganggu serta mengugut dua individu pada Mac dan April lalu.
Tertuduh, Khairul Helmy Abd. Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menyimbah cat merah ke atas sebuah kereta Proton Iswara milik seorang lelaki di Taman Sri Putra, di sini pada pukul 3.30 pagi, 14 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menyimbah cat kuning ke atas sebuah kereta Naza Forte serta pintu pagar rumah milik lelaki lain di Taman Berjaya, di sini pada pukul 5.30 pagi, 21 April lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 29B(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama terhadap setiap tertuduh.
Sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama tiga bulan lagi.
Bagi pertuduhan kedua pula, setiap tertuduh didenda RM10,000 dan dipenjara 10 bulan. Jika gagal menjelaskan denda, mereka boleh dipenjarakan selama empat bulan lagi.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan dan 10 bulan itu dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang perlu dijalani ialah 18 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hazwani Md. Noor manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Farahin Saad. – KOSMO! ONLINE














